
NIAH: Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Subis 2025 merupakan salah satu wadah penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna, tetapi ia melambangkan maruah, kedaulatan, dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
“Setiap kali ia dikibarkan, ia adalah simbol perpaduan, kebersamaan, dan komitmen kita untuk mempertahankan keamanan serta keharmonian negara.
“Saya amat berbangga kerana program anjuran Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) ini berjaya menghimpunkan 14 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Subis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada majlis perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Subis di Tebingan Sungai Niah di sini, semalam.
Katanya, inisiatif ini jelas menunjukkan bahawa KRT bukan sahaja menjadi penggerak komuniti, malah menjadi benteng penting dalam menanamkan nilai perpaduan, kebajikan, keselamatan, dan kesejahteraan di kawasan masing-masing.
“Kempen ini membawa mesej besar ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’ tema ini mengingatkan kita bahawa pembangunan negara bukan hanya terletak pada kemajuan fizikal, tetapi juga pada nilai kemanusiaan, kebersamaan, serta rasa hormat terhadap kepelbagaian kaum, budaya, dan agama di Malaysia.
“Melalui kempen ini diharapkan dapat mengukuhkan semangat silaturahim antara komuniti, meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kesukarelawan dan kejiranan, menyemarakkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia, menjadikan Jalur Gemilang berkibar megah di setiap rumah, premis perniagaan, pejabat, dan kenderaan di daerah ini,” katanya lagi.
Hadir sama Pegawai Daerah Subis Norlaila Ulis, Pegawai Perpaduan Miri Wilfred Ugap, agensi-agensi kerajaan dan Penghulu Wan Fauzi serta ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu