
SARATOK: Kira-kira 14 kampung kini sedang sibuk menyiapkan pintu gerbang masing-masing bersempena Pertandingan Pintu Gerbang sempena sambutan Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata sebanyak 14 borang penyertaan bagi menyertai petandingan tradisi untuk tahun ini telah dikeluarkan oleh Pusat Khidmat DUN Kalaka.
Katanya, hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 berserta piala bakal menanti pemenang dalam pertandingan pintu gerbang itu, selain naib johan RM2,500 serta piala dan tempat ketiga RM1,500 berserta piala.
“Alhamdulillah, pada hari ini saya sempat meninjau suasana gotong-royong di kalangan penduduk sekitar 14 kampung tengah sibuk menyiapkan pintu gerbang di kampung masing-masing.
“Tema pertandingan pada tahun ini adalah ‘Sarawak Maju Makmur’ dan pemarkahan bagi pertandingan ini akan dinilai berdasarkan kriteria seperti reka bentuk, kreativiti, keceriaan dan keselamatan pintu gerbang berkenaan,” katanya.
Mohamad Duri, berkata keunikan mengadakan pertandingan pintu gerbang ini akan menunjukkan kerjasama daripada penduduk kampung dengan membina pintu gerbang dan menghias kampung tidak kira usia akan turut terlibat bersama-sama dalam usaha mencantikkan kampung mereka sendiri.
“Dengan wujudnya pertandingan ini setiap tahun, saya berharap semangat sambutan Aidilfitri pada kali ini dapat dirasai sekali gus memupuk semangat kerjasama antara penduduk dalam membina pintu gerbang di kampung masing-masing.
“Malah keistimewaan dan kelebihan pertandingan ini adalah merupakan salah satu cara untuk memelihara, mengekal dan menghidupkan tradisi lama masyarakat di setiap kampung supaya ia tidak pupus dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri,” jelasnya.
Mohamad Duri berkata kelebihan mengadakan pertandingan ini diharap mampu melepaskan kerinduan dan menyemarakkan semangat anak-anak kampung yang berada di perantauan untuk pulang ke desa menyambut kemeriahan Aidilfitri dengan pertandingan itu tahun ini.
Sementara itu, pertandingan pintu gerbang yang dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Kalaka dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Saratok (LAKIS) Saratok itu turut menyediakan hadiah di tempat keempat iaitu RM1,000, tempat kelima RM800 dan saguhati masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM500 menanti kepada pemenang pertandingan itu nanti.
Oleh Adi Safarman