
KUCHING: Seramai 14 individu ditahan dalam Op Tapis Khas dan Op Waran Tangkap yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Bau bersama anggota IPD Bau di kawasan Sebuku, Kampung Kaman dan Kampung Sibuluh, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata operasi bermula pada 5.45 pagi hingga 5.00 petang itu melibatkan pemeriksaan terhadap 13 lelaki dan seorang wanita tempatan.
“Daripada jumlah tersebut, seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi ditahan mengikut Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki paket plastik lutsinar mengandungi bahan kristal disyaki dadah seberat 13.53 gram,” katanya.
Beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua 14 individu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kesemua mereka mengaku menagih dadah, sama ada sehari sebelum atau pada hari penangkapan. Mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Bau dan akan direman keesokan harinya,” ujarnya.
Haide menegaskan bahawa polis akan terus menjalankan operasi berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan Bau.