MANILA: Pasukan penyelamat Filipina giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat 14 individu yang hilang selepas bot nelayan tempatan bertembung dengan kapal kargo awal pagi Ahad di perairan barat daya Manila, menurut pihak berkuasa.
Insiden itu menyebabkan bot nelayan Liberty 5 terbalik di wilayah Occidental Mindoro. Tiada maklumat jelas berhubung kemungkinan bot itu karam.
Berikutan kejadian itu, kapten kapal kargo Vienna Wood yang berdaftar di Hong Kong, meminta bantuan pasukan penyelamat dan kapal itu kemudiannya ditunda oleh pasukan Pengawal Pantai Filipina, menurut jurucakap agensi Commodore Armando Balilo.
Pihak berkuasa Filipina mengerahkan pencarian menggunakan pesawat dan kapal untuk mencari mangsa yang hilang membabitkan 12 anak kapal warga Filipina dan dua penumpang, biarpun sebelum ini keadaan laut bergelora.
Filipina mempunyai rekod keselamatan perkapalan yang buruk, dengan kematian akibat kemalangan di laut setiap tahun, biasanya ia terjadi ke atas kapal kayu yang memindahkan orang dari satu pulau kecil ke pulau lain.
Terdapat juga insiden yang didakwa berkaitan pertikaian maritim.
Pada Jun tahun lalu, sebuah kapal nelayan China merempuh sebuah perahu Filipina dekat Reed Bank, sebuah kawasan di Laut China Selatan di wilayah Manila yang turut dituntut oleh Beijing.
Dalam insiden itu, nelayan Vietnam menyelamatkan 22 warga Filipina yang menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte menghadapi tuduhan mempertahankan Beijing.
Namun, Duterte berusaha meremehkan kes itu dengan menyebutnya sebagai kecelakaan dan menerima tawaran Beijing untuk melakukan penyelidikan bersama. – AFP