

MIRI: Sebanyak 139 notis saman dikeluarkan dan enam kenderaan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri dalam Operasi Khas Lampu HID di Jalan Miri Bypass bermula 6.00 petang hingga 11.00 malam tadi.
Menurut kenyataan JPJ Sarawak hari ini, operasi itu dijalankan bagi memastikan pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan teknikal kenderaan serta mengurangkan risiko kemalangan akibat penggunaan lampu hadapan berintensiti tinggi yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 139 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, serta kesalahan teknikal kenderaan.
“Selain itu, enam kenderaan pelbagai jenis turut disita atas kesalahan melibatkan cukai jalan tamat tempoh dan ketiadaan perlindungan insurans yang sah,” katanya melalui hantaran di Facebook JPJ Sarawak.


Pada operasi itu, Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili, turut hadir untuk meninjau pelaksanaan operasi, menilai keberkesanan penguatkuasaan, serta memberi semangat kepada anggota yang bertugas.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas namun berhemah akan terus dilaksanakan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya terjamin.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menggesa semua pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Pemandu juga diingatkan untuk memastikan lesen memandu serta cukai jalan sentiasa sah bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.
Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran serta memastikan tahap keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum.
Oleh Adum Liu