

KUCHING: Sebuah kereta telah disita dalam Ops Motosikal dan Ops Tahun Baharu Cina (TBC) yang dilaksanakan oleh Unit Overloading Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching menerusi rondaan dan pemantauan di sekitar bandar raya ini, semalam.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 138 kenderaan telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan, antaranya tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi, lesen memandu tamat tempoh serta pelbagai kesalahan teknikal kenderaan.
Kenderaan yang disita didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans yang sah.
JPJ Sarawak akan terus memperkukuh pelaksanaan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa terjamin. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memastikan dokumen kenderaan dan lesen memandu adalah sah sebelum memulakan perjalanan.