SERIAN: Penduduk Kampung Mawang Taup di Serian terputus hubungan apabila jalan utama ke kampung tersebut runtuh petang semalam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 4.16 petang, semalam.
Susulan itu, beliau mengerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian diketuai Bilong Lusat bersama dua anggota yang lain ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh mengakibatkan jalan utama yang menghubungi kampung Mawang Taup terputus, katanya, dalam kenyataan semalam.
Ujarnya, ketua Kaum kampung tersebut Aud Ang memaklumkan kejadian berlaku lebih kurang pada 2.00 petang.
“Pihak bomba membuat pemantauan dan memberi khidmat nasihat kepada penduduk agar berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,”jelasnya.
JBPM Sarawak menerusi kenyataannya juga memberitahu bahawa pihaknya juga telah memasang sawar-sawar sebagai tanda supaya pengguna jalan tersebut lebih berhati-hati.
“Seramai 135 keluarga dan sebuah sekolah rendah serta satu sekolah tadika terjejas berikutan daripada insiden itu,” tambahnya.
Turut hadir di lokasi Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem.
Setelah keadaan didapati terkawal pihak Bomba bertolak balik ke balai.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ