TEBEDU: Seramai 133 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima Bantuan Insentif Pelajar 2026 membabitkan peruntukan keseluruhan RM52,300.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, berkata bantuan tersebut disalurkan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah, Diploma serta Program Asasi dan Sijil.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 62 pelajar mengikuti pengajian peringkat Ijazah, 48 pelajar di peringkat Diploma manakala 23 lagi mengikuti Program Asasi atau Sijil.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Pelajar 2026 di bawah DUN N.21 Tebedu yang berlangsung di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin, hari ini.
Dr. Simon berkata, walaupun bantuan berkenaan tidak mampu menampung keseluruhan keperluan pengajian, ia diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga serta menjadi tanda sokongan kepada para pelajar dalam mengejar cita-cita masing-masing.
“Bantuan ini mungkin tidak dapat menanggung segala keperluan mereka, tetapi diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga serta menjadi tanda sokongan kepada anak-anak kita dalam mengejar cita-cita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan antara pelaburan penting untuk membina masa depan, selain menjadi asas kepada pembentukan generasi berilmu dan berkemahiran.
Katanya, golongan pelajar hari ini merupakan aset penting yang bakal menjadi pemimpin serta penggerak masyarakat pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap mereka memanfaatkan peluang pendidikan yang diperoleh dengan sebaik mungkin.
“Jadikan peluang pendidikan ini sebagai landasan untuk membina masa depan yang lebih baik, bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi juga untuk masyarakat dan kawasan kita,” katanya.
Oleh Adi Safarman





