
MIRI: Seramai 1,320 peserta berjaya memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) 2025 anjuran Parlimen Miri dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bagi membantu golongan B40 dan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal pada kos lebih rendah berbanding harga pasaran.
Menurut beliau, kos biasa untuk mendapatkan lesen motosikal B2 sekitar RM800 hingga RM900 seorang, namun peserta MyLesen di Miri hanya dikenakan bayaran RM250, sekali gus memberi kelegaan kepada ramai yang sebelum ini tidak mampu menampung kos penuh.

“Pada 2024, seramai 914 peserta telah berjaya diluluskan. Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan, penganjuran pada 2025 menyaksikan penyertaan meningkat kepada 1,320 peserta,” katanya di sini.
Chiew berkata program itu bukan sahaja melesenkan lebih ramai penunggang motosikal, tetapi turut menyumbang kepada usaha mengurangkan jumlah penunggang tanpa lesen di jalan raya serta meningkatkan keselamatan melalui latihan dan pematuhan peraturan trafik yang ditetapkan JPJ.
“Program ini juga membuka peluang ekonomi kepada peserta, khususnya dalam sektor gig seperti perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan.
“Lesen yang sah memberi mereka akses lebih luas kepada peluang pekerjaan dan meningkatkan mobiliti harian,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling