
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menganjurkan Kejohanan Pickleball 2025 di PIKABOL di sini semalam bagi menggalakkan penyertaan komuniti serta mempromosikan gaya hidup sihat melalui sukan tersebut.
Penganjuran itu menarik penyertaan seramai 132 pasangan melibatkan kategori beregu wanita, beregu lelaki, beregu veteran dan beregu campuran, manakala lapan pasangan bertanding dalam kategori VIP yang menghimpunkan tetamu kehormat dan jemputan khas.
Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata kejohanan tersebut menjadi pemangkin kepada perkembangan pickleball di Sarawak yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

“Pickleball bukan sahaja sebagai permainan santai tetapi juga platform untuk mengeratkan hubungan komuniti di samping mendorong orang ramai mengekalkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penganjuran sulung ini mendapat kerjasama kelab rekreasi SEDC, PEDAS, serta sokongan strategik daripada The Podium Project dan Persatuan Pickleball Kuching yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran acara.
SEDC turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,800 selain piala dan pingat kepada pemenang kategori utama, manakala peserta kategori VIP menerima piala kenang-kenangan sebagai tanda penghargaan.
Kejohanan itu sekali lagi membuktikan komitmen SEDC dalam memupuk penglibatan masyarakat terhadap sukan baharu serta memperkukuh usaha membina komuniti yang lebih aktif dan sihat di Sarawak.