
KUCHING: Seramai 131 mangsa daripada 28 Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di sekitar Daerah Kuching susulan kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut hari ini.
Menurut Laporan Bencana Negeri Sarawak yang dikemas kini 4.00 petang, kedua-dua PPS tersebut dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat kenaikan paras air di beberapa kawasan rendah.
PPS Dewan R-Piang mula dibuka pada hari ini dengan menempatkan seramai 87 mangsa daripada 18 KIR.
Sementara itu, PPS Dewan Masyarakat Stapok turut dibuka pada hari yang sama bagi menempatkan 44 mangsa daripada 10 KIR.
Secara keseluruhan, sebanyak dua PPS kini beroperasi di Bahagian Kuching bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Trend pemindahan mangsa dilaporkan meningkat berikutan keadaan banjir yang masih berterusan di beberapa kawasan terlibat.
Pihak berkuasa memaklumkan pemantauan rapi terus dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan pertambahan mangsa dipindahkan.
Penduduk di kawasan berisiko banjir turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke PPS yang disediakan.
Oleh Adi Safarman