PERIKSA… Seorang askar Ukraine memeriksa kapal pengangkut peribadi (APC) berperisai Rusia yang musnah di Irpin, utara Kiev, Ukraine. •Foto AFP
KIEV: Sekitar 1,300 tentera Ukraine terbunuh sejak Rusia menyerang jirannya yang pro-Barat, kata Presiden negara itu, Volodymyr Zelensky pada Sabtu lalu ketika tentera Moscow menutup masuk ke ibu negara Kiev.
Zelensky membuat pendedahan itu pada taklimat media, kali pertama Kiev memberikan angka sedemikian sejak permulaan pertempuran.
Pada 2 Mac lalu, Rusia berkata, ia telah kehilangan hampir 500 askar, tetapi tidak mengemas kini angka itu sejak itu.
Presiden Ukraine itu mendakwa bahawa Rusia kehilangan sekitar 12,000 anggota tentera.
“Ia bersamaan dengan satu nisbah sepuluh (1:10), tetapi itu tidak menggembirakan saya”, katanya.
Tentera Rusia menggerakkan sekitar 150,000 askar untuk menyerang Ukraine.
Dalam pada itu, tentera Rusia meningkatkan tekanan ke atas Kiev pada Sabtu lalu, termasuk kawasan awam di bandar lain di Ukraine dalam usaha baharu untuk mendapatkan bantuan kepada bandar pelabuhan Mariupol yang musnah.
Menurut datuk bandar, serangan Rusia memusnahkan lapangan terbang di Bandar Vasylkiv pada pagi Sabtu lalu, sekitar 40 kilometer di selatan Kiev, manakala sebuah depot minyak turut terkena dan terbakar,
Pinggir bandar barat laut ibu negara, termasuk Irpin dan Bucha turut mengalami beberapa hari pengeboman dahsyat, manakala kenderaan perisai Rusia sedang mara di pinggir timur laut.
Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak pada Jumaat lalu menggelarnya sebagai ‘Bandar Dalam Kepungan’, manakala Datuk Bandar Vitali Klitschko berkata, Kiev memperkukuh pertahanan dan menyimpan stok makanan dan ubat-ubatan pada Sabtu lalu/
Bandar pelabuhan selatan Mariupol berdepan dengan apa yang dikatakan oleh Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba sebagai malapetaka kemanusiaan paling teruk di planet ini dengan lebih 1,500 orang awam terkorban dalam tempoh 12 hari. -AFP