
KUCHING: Seramai 130 penduduk terjejas banjir berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Taman Duranda Emas dalam operasi pemindahan yang dijalankan awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Siburan bermula 12.45 pagi.
Operasi melibatkan enam anggota dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda serta dua bot dan dilaksanakan secara terkawal serta selamat. Kesemua mangsa berjaya dipindahkan tanpa sebarang insiden.

Pecahan mangsa yang dipindahkan melibatkan 57 lelaki dewasa, 40 perempuan dewasa, 20 kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan, tiga bayi, dua orang kurang upaya (OKU) serta enam warga emas.
JBPM Sarawak memaklumkan trend paras air di kawasan berkenaan dilaporkan menurun walaupun hujan masih berterusan, manakala pemantauan lanjut terus dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
Oleh Shahrul Qaizat