
PETRA JAYA: Seramai 13 wakil Sarawak terdiri daripada atlet para, jurulatih dan pegawai sokongan akan menyertai program Ahli Sukan Atlet Khas Jerman-Sarawak yang berlangsung di Berlin, Jerman dari 16 hingga 25 Jun ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, penyertaan tersebut merupakan satu peluang kolaborasi antarabangsa membabitkan sesi latihan, pertandingan serta taklimat teknikal bersama pakar Paralimpik Jerman.
Delegasi diketuai Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON), Matthew Chin Hiong Choi dan turut disertai atlet seperti Richard Ganie James Sigan, pemenang pingat emas Para Sukma 2018, 2022 dan 2024 serta Nur Farhani Kudus, pelajar UiTM yang merangkul pingat gangsa di IPC Grand Prix India baru-baru ini.
“Antara tokoh penting yang akan mereka temui ialah Ralph Paulo, Ketua Paralimpik Brandenburg, yang telah membantu atlet Jerman meraih lebih 20 pingat emas di peringkat antarabangsa termasuk Paralimpik Rio, Tokyo dan Paris,” ujar Dato Sri Fatimah dalam sidang media di Baitul Makmur II, hari ini.
Tambah beliau, program tersebut juga akan melibatkan sesi bimbingan bersama pakar pemakanan, psikologi sukan serta lawatan ke fasiliti latihan bertaraf dunia di Jerman.
“Kita berharap segala ilmu dan pengalaman daripada lawatan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi prestasi atlet para Sarawak, ke arah kecemerlangan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia,” katanya. -UKAS