13 rumah panjang Bawang Assan terima peruntukan MRP

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau (tengah, berbaju kuning) bergambar bersama penerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 13 rumah panjang di kawasan Bawang Assan pada majlis penyerahan cek MRP di Rumah Joseph Abet, Bawang Assan, Sibu..

SIBU: Sebanyak 13 rumah panjang di Bawang Assan menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, bagi menyokong pelbagai aktiviti dan keperluan komuniti setempat.

Cek peruntukan itu diserahkan Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau, pada majlis penyerahan di Rumah Joseph Abet, Bawang Assan, di sini, Ahad lalu.

Menurut Lau, peruntukan itu diberikan Dr Sim susulan permohonan yang disampaikan Penghulu Dennis Ansam ketika kunjungan ke rumah panjang berkenaan bersama Duta Besar China sempena sambutan Gawai pada 3 Jun lalu.

Katanya, permohonan tersebut dibuat khusus untuk 13 Tuai Rumah yang hadir pada majlis berkenaan.

“MRP ini bukan sekadar soal jumlah peruntukan, tetapi juga satu bentuk sokongan dan pengiktirafan kepada pemimpin masyarakat atas peranan mereka dalam komuniti,” katanya.

Lau berkata kunjungan Duta Besar China ke Bawang Assan turut membuka ruang untuk memperkenalkan budaya masyarakat Iban, termasuk ritual miring dan kehidupan di rumah panjang.

Menurutnya, penyerahan cek terus kepada penerima di Bawang Assan dibuat atas permintaan Penghulu Dennis bagi memudahkan Tuai Rumah serta memberi peluang kepada pemimpin untuk bertemu masyarakat secara langsung.

“Penyampaian cek di kawasan ini lebih bermakna daripada kita mengagihkannya di pejabat SUPP di bandar kerana kita dapat berjumpa secara langsung dan mengeratkan hubungan,” katanya.

Dalam pada itu, Lau berkata pembangunan Bawang Assan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan kerjasama semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, semangat ‘Segulai Sejalai’ penting bagi memastikan pembangunan kawasan itu serta Sibu terus diperkasa, termasuk dalam aspek ekonomi dan infrastruktur.

Lau turut menyentuh cadangan pembinaan sebuah jambatan yang menurutnya mampu memberi impak besar terhadap pembangunan Sibu.

Katanya, beliau pernah mengemukakan permohonan berhubung cadangan itu kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu.

“Jika jambatan itu diluluskan, ia akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk dibina dan saya percaya pembangunan di Sibu secara keseluruhannya akan menjadi sangat berbeza.

“Kita harus bersama-sama, dengan satu hati, bekerjasama supaya generasi lebih muda juga dapat menikmati hasil daripada usaha yang kita lakukan hari ini,” katanya.

Hadir sama Temenggong Stanley Gramong, Penghulu Dennis Ansam dan wakil Ketua PBB Cawangan Bawang Assan, Romeo Christopher Tegong, iaitu Matthew Dandi.

Oleh Tarani Lanting

Empat pasukan mara separuh akhir PSDC 2026

KUCHING: Empat pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (Premier of Sarawak Debate Challenge Cup/PSDC) 2026 selepas