
PUTRAJAYA: Sebanyak 13 projek solar berskala besar termasuk sebuah loji jana kuasa solar terapung antara yang terbesar di negara ini telah diluluskan di bawah Program Solar Berskala Besar – Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataannya memaklumkan, Suruhanjaya Tenaga pada 20 Januari lalu telah membuka permohonan kuota solar berjumlah 2,000MWac menerusi proses bidaan terbuka program tersebut.
Program LSS PETRA 5+ menawarkan dua pakej pembangunan. Pakej pertama membabitkan loji jana kuasa solar dengan kapasiti antara 30MWac hingga 500MWac dengan kuota 1,500MWac, khusus untuk syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan tempatan.
Manakala pakej kedua pula memberi tumpuan kepada pembangunan loji jana kuasa solar terapung di badan air dengan kapasiti antara 10MWac hingga 500MWac, melibatkan kuota sebanyak 500MWac.
Menurut PETRA, bidaan tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 37 permohonan diterima dengan jumlah kapasiti 4,073MW, iaitu dua kali ganda melebihi kuota yang ditawarkan.
Hasil penilaian, seramai 13 pembida yang memenuhi syarat Permintaan untuk Cadangan (RFP) dipilih dengan kapasiti keseluruhan 1,975MWac, menjadikannya jumlah terbesar sejak program LSS diperkenalkan pada 2016. Secara kumulatif, sebanyak 4,263MWac kuota telah diluluskan sejak itu.
“Pelaksanaan bidaan terbuka ini telah berjaya melahirkan ramai pemaju solar tempatan yang berkeupayaan membangunkan loji jana kuasa pada kadar tarif kompetitif,” jelas kenyataan tersebut.
Tambahnya, pelaksanaan projek di bawah LSS PETRA 5+ dijangka menjana pelaburan sebanyak RM6 bilion serta mewujudkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB).
Projek yang diluluskan ini dijangka mula membekalkan elektrik antara 2027 dan 2028, termasuk projek loji jana kuasa solar terapung dengan kapasiti 200MWac yang bakal menjadi antara terbesar di negara ini.
PETRA optimis inisiatif berkenaan akan menyumbang signifikan terhadap aspirasi peralihan tenaga negara, iaitu meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050.
Ia juga selaras dengan komitmen mengurangkan jejak karbon dalam sektor bekalan elektrik negara berdasarkan prinsip kemampanan Malaysia MADANI.