
KUCHING: Polis Daerah Bau menahan 13 lelaki dalam siri operasi membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar Kampung Bobak, Kampung Bobak Sejinjang dan Kampung Daun awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi berkenaan dilaksanakan oleh pasukan BSJND Bau dengan kerjasama anggota dari IPD Bau, yang membawa kepada beberapa tangkapan serta rampasan syabu.
Menurutnya, empat suspek pertama ditahan dalam serbuan berasingan antara 5.45 pagi hingga 7.00 pagi. Dalam operasi itu, polis merampas beberapa paket kecil disyaki syabu seberat 0.54 gram, 0.18 gram, 5.41 gram dan 0.39 gram.
“Keempat-empat suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Rampasan dibuat di rumah tidak bernombor di Kampung Bobak dan Kampung Daun serta di tepi jalan di Kampung Bobak Sejinjang,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan saringan susulan di pejabat BSJND mendapati kesemua 13 lelaki yang ditahan positif methamphetamine dan amphetamine.
“Kesemua suspek mengaku mengambil syabu sehari sebelum ditahan. Mereka kini ditahan di lokap IPD Bau,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2), 15(1)(a) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, bergantung pada kesalahan masing-masing.
Oleh Connie Chieng