
KUCHING: Seramai 13 individu ditahan dan sisa buangan elektronik (e-waste) bernilai lebih RM19 juta dirampas dalam satu operasi besar-besaran yang dijalankan serentak di seluruh negara, 16 Jun lalu.
Pegawai Pemerintah PGA Briged Sarawak, ACP Rosdi Inai, berkata pelancaran operasi bersepadu Op Hazard 2.0 Sarawak itu melibatkan beberapa daerah utama termasuk Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Bintulu.
Operasi ini, katanya, merupakan usaha kedua di peringkat kebangsaan yang menyasarkan premis-premis yang disyaki mengendalikan e-sisa tanpa kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Operasi ini dijalankan oleh Briged PGA Sarawak dengan kerjasama Jabatan Imigresen Sarawak, JAS Sarawak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Siasatan Jenayah D4,” katanya dalam kenyataan media.

Jelasnya, pasukan dari Markas Briged PGA Kuching bersama Batalion 10 (Sibu), Batalion 11 (Kuching), Batalion 12 (Miri), dan Batalion 23 (Sri Aman) menjalankan enam serbuan di lokasi-lokasi yang disyaki menjadi pusat pemprosesan e-waste haram.
Ini, katanya, termasuk satu di Sibu, dan dua di Kota Samarahan serta Bintulu antara 10.00 pagi hingga 9.00 malam pada hari berkenaan.
Rosdi berkata, tangkapan melibatkan 12 lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 58 tahun, serta enam lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing berusia antara 21 hingga 32 tahun.

Siasatan di tapak-tapak tersebut, ujarnya, mendedahkan kehadiran sisa elektronik belum diproses, barangan usang, serta pelbagai jentera pemprosesan.
Jumlah keseluruhan rampasan, katanya lagi, dianggarkan bernilai RM19,638,213.45.
“Kesemua yang ditahan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah dan Jabatan Imigresen Sarawak untuk tindakan lanjut, manakala barang rampasan diserahkan kepada JAS Sarawak dan D4 bagi tujuan siasatan,” ujarnya.
Kes ini, tegasnya, disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 38(1)(C), Seksyen 16(1), dan Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Barangan Haus 1946, dan Seksyen 18(1)(A) Undang-Undang Kecil PBT (Kebersihan) 1999.
Menurut Rosdi, salah satu kes yang dikesan di Bintulu melibatkan sindiket yang mengumpul e-sisa secara haram sebelum dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk diekstrak logam berharga seperti emas, perak dan tembaga.
Katanya, sindiket beroperasi di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Briged PGA Sarawak komited untuk terus bekerjasama dengan JAS dan pihak berkuasa tempatan dalam membanteras jenayah alam sekitar serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang,” tegasnya.
Sejak 1 Januari hingga hari ini, ujar Rosdi, operasi Briged PGA Sarawak telah mencatatkan rampasan bernilai RM284.7 juta melibatkan 228 kes, 340 tangkapan (251 warga tempatan dan 89 warga asing), serta penyitaan 189 kenderaan pelbagai jenis.
Oleh Connie Chieng