
SARIKEI: Seramai 225 anggota kontinjen membabitkan atlet, jurulatih, pengurus pasukan dan pegawai sokongan daripada kontinjen Zon Barat akan menyertai Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 yang berlangsung di Bahagian Betong, Sri Aman dan Lubok Antu bermula Khamis ini hingga 8 Februari.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 126 merupakan atlet yang akan membawa cabaran Zon Barat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan sepanjang temasya sukan berprestij peringkat negeri tersebut.
Residen Sarikei yang juga Ketua kontinjen Zon Barat, Datu Michael Ronnie Langgong, berkata temasya SUKSAR IV 2026 akan dirasmikan secara rasmi esok bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, manakala majlis penutupan dijadualkan berlangsung pada 8 Februari 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.

“Temasya Sukan Sarawak bukan sahaja menjadi medan pertandingan untuk mengukur keupayaan fizikal dan pencapaian sukan, malah merupakan platform penting dalam melahirkan atlet berdisiplin, berdaya saing serta berjati diri tinggi.
“Ia juga menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan, memupuk semangat kesukanan dan mempererat hubungan antara bahagian dan daerah di seluruh Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan kontinjen Zon Barat di Dewan Suarah Sarikei, hari ini.
Katanya, setiap atlet dan anggota kontinjen membawa tanggungjawab besar kerana setiap perlakuan, sikap serta pencapaian sepanjang temasya akan mencerminkan imej, maruah dan reputasi Zon Barat.
“Setiap perlakuan, sikap dan pencapaian saudara dan saudari mencerminkan imej, maruah dan reputasi Zon Barat.
“Oleh itu, saya menggesa agar semua atlet bertanding dengan penuh semangat kesukanan, menjunjung tinggi nilai disiplin, mematuhi peraturan pertandingan serta sentiasa menghormati pihak lawan dan pegawai kejohanan.

“Bertandinglah dengan tekad dan iltizam yang tinggi, berikan prestasi terbaik dan jadikan pengalaman ini sebagai landasan kepada pencapaian yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal, jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan persiapan dan pengurusan kontinjen berjalan lancar.
“Komitmen, pengorbanan dan kerjasama semua pihak terlibat merupakan tunjang utama kepada kejayaan serta kelancaran penyertaan Kontinjen Zon Barat dalam SUKSAR IV 2026,” katanya.
Dalam pada itu, para atlet kontinjen Zon Barat bakal bertanding untuk 10 sukan iaitu ping pong, petanque, bola keranjang, bola jaring, karate, basikal, taekwondo, sepak takraw, tinju dan angkat berat.
Oleh Earl Anek