
KUCHING: Sebanyak 12,410 kilogram (kg) minyak masak paket 1kg dirampas daripada dua premis di Sejingkat selepas pemeriksaan nominal mendapati berat sebenar minyak masak tidak menepati had yang ditetapkan.
Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak mengambil tindakan kes terhadap premis terbabit susulan aduan rasmi orang awam yang diterima melalui portal e-aduan KPDN.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata pemeriksaan itu dijalankan pada 5 Februari lalu sekitar 10.00 pagi oleh sepasukan enam pegawai penguat kuasa. “Pemeriksaan nominal ini melibatkan 125 sampel minyak masak paket 1kg yang ditimbang menggunakan alat timbang berketepatan tinggi ‘Pre-Package Class II’ bagi menentukan ketepatan berat sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 125 sampel mempunyai berat kurang daripada 1kg dengan purata 0.9791kg. Susulan itu, minyak masak bernilai RM31,025 telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Perenggan 7, Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023, iaitu gagal mematuhi had selisih berat yang dibenarkan.
“KPDN Sarawak mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan bagi memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi,” katanya.
Mana-mana pemborong, pengeluar, pengilang atau pengimport yang melanggar peruntukan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Bagi individu, kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama.
KPDN Sarawak turut menghargai kerjasama orang awam dan agensi lain dalam menyalurkan aduan bagi membanteras manipulasi barangan kawalan. Pengedar dan peniaga dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menghubungi KPDN melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.