
SIBU: Seramai 132 individu ditahan dalam Op Tapis Narkotik yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu sejak 6 Oktober lalu hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata operasi itu berjaya menahan seorang suspek di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, empat orang di bawah Seksyen 39A(1), 16 orang di bawah Seksyen 12(3) dan 101 penagih di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Sebanyak 122 kertas siasatan dibuka sepanjang operasi berkenaan. Daripada jumlah itu, 132 individu telah didakwa di Mahkamah Sibu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, dalam tempoh tujuh hari terakhir operasi bermula 17 Oktober lalu hingga semalam, polis berjaya melakukan 47 tangkapan dan kesemuanya turut didakwa di mahkamah.
Katanya lagi, seramai 11 individu masih direman termasuk seorang suspek utama yang ditahan di bawah Seksyen 39B untuk membantu siasatan lanjut.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan Sibu bebas daripada ancaman dadah,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis melalui hotline JSJN Bukit Aman (012-2087222) atau JSJN Sarawak (017-5929211).
Oleh Tarani Lanting