ABUJA: Sekurang-kurangnya 121 kanak-kanak bawah umur lima tahun dilaporkan meninggal dunia di Nigeria dalam tempoh empat bulan lalu akibat malaria ketika jumlah kes meningkat semasa musim tengkujuh, lapor Agensi Anadolu.
Pada sidang akhbar Selasa lalu, Pengarah Hospital Dutse, Abbas Ya’u berkata, 15,754 kes malaria dikesan di Dutse, negeri Jigawa, timur laut negara itu antara Jun dan September, 8,102 daripada mereka adalah pesakit pediatrik.
Beliau berkata, sistem kekebalan kanak-kanak bawah lima tahun tidak cukup kuat untuk melawan parasit itu dan mereka mudah dijangkiti lalu meninggal dunia.
Menurut Laporan Malaria Dunia 2019 diterbitkan pada Disember lalu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 228 juta kes malaria dikesan di seluruh dunia pada 2018.
Dianggarkan sebanyak 405,000 kematian di seluruh dunia akibat penyakit itu dan 94 peratus kematian pada 2018 adalah di rantau Afrika.
Angka korban di Nigeria sahaja sebanyak 24 peratus daripada perangkaan dunia.
Kanak-kanak bawah lima tahun adalah kumpulan berisiko tinggi dengan 67 peratus kematian.
Malaria menjangkiti manusia menerusi gigitan nyamuk yang dijangkiti penyakit berkenaan.
Meskipun boleh dicegah dan dirawat, ia masih dianggap penyakit mengancam nyawa, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Afrika.
Mereka yang dijangkiti kebiasaannya mengalami gejala seperti deman panas dan menggigil kesejukan.
Sementara itu, di Hanoi, banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain yang melanda Vietnam sudah meragut 111 nyawa manakala 22 lagi masih hilang setakat Selasa, lapor agensi berita Xinhua.
Jumlah korban terutamanya dilaporkan di wilayah Quang Tri, Thua Thien-Hue dan Quang Nam, menurut Jawatankuasa Pemandu Kawalan dan Pencegahan Bencana Alam pada Rabu.
Seramai 60 mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh dan banjir. Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Sehingga 5.00 petang waktu tempatan Selasa, hampir 59,300 isi rumah dengan sekitar 206,800 orang di kawasan Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Tri telah dipindahkan.
Walaupun hujan semakin berkurangan pada Rabu, risiko banjir kilat, tanah runtuh dan banjir diramal terus mengancam beberapa kawasan di Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Nam, menurut pihak berkuasa cuaca negara.
Wakil Perdana Menteri, Trinh Dinh Dung mengingatkan penduduk di lokasi terjejas untuk bersiap berdepan kemungkinan ribut Saudel yang diramal melanda dalam beberapa hari lagi.-Bernama