Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • 12 tahun kehilangan MH370, rindu yang tidak pernah padam
  • NASIONAL

12 tahun kehilangan MH370, rindu yang tidak pernah padam

Utusan Sarawak 5 hours ago

KUALA LUMPUR: “Bukannya diri ini tak terima kenyataan, hati ini hanya rindu”. Bait-bait lirik lagu Hanya Rindu nyanyian Andmesh Kamaleng ini seakan-akan menggambarkan perasaan yang masih ditanggung keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, satu kehilangan yang sangat menghiris perasaan, hingga kini terus hidup dalam ingatan mereka.

Dua belas tahun telah berlalu sejak pesawat itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, membawa 227 penumpang dan 12 kru pada 8 Mac 2014.

Namun, bagi keluarga dan waris penumpang serta anak kapal, masa tidak pernah memadamkan rasa kehilangan itu. Kehidupan diteruskan seperti biasa, tetapi setiap kali tarikh 8 Mac menjelma, kenangan terhadap insan tersayang kembali hadir bersama dengan rasa rindu yang tidak pernah padam.

Bagi sebahagian waris, perjalanan selama lebih sedekad itu bukanlah mudah. Mereka belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berubah secara mendadak, membesarkan anak tanpa suami atau isteri di sisi dan menyambung rutin harian sambil memikul memori yang tidak pernah pudar.

Nurlaila Ngah @ Awang, 52, isteri kepada pramugara kanan LS Wan Swaid Wan Ismail ketika dihubungi Bernama, mengakui rindu kepada suaminya tidak sesekali padam walaupun sudah 12 tahun kejadian itu berlaku, malah ada satu tempoh beliau tidak boleh makan atau melihat makanan kegemaran suaminya, iaitu tart nanas dan laksam.

Wanita itu yang pernah bertugas sebagai kru MAS sebelum ini, berkata bagi melepaskan rasa rindu itu, dia mengunjungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan. Jadi, jarak dari rumah nak ke lapangan terbang tidak jauh. Kalau rindu saya akan pergi ke lapangan terbang … saya akan ke anjung tinjau tengok kapal terbang, nak lepaskan rindu.

“Tetapi, apabila tengok kapal terbang pun saya menangis,” katanya sambil menambah trauma tragedi itu turut meninggalkan kesan kepadanya, beliau akan berdebar-debar setiap kali melihat kru penerbangan dan takut untuk menaiki pesawat hingga kini.

Berkongsi pengalaman dalam meneruskan kehidupan sejak kehilangan itu, Nurlaila melahirkan rasa syukur kerana Allah SWT memudahkan segalanya walaupun mengakui tidak mudah untuk menjadi ibu tunggal membesarkan tiga anak ketika itu.

“Alhamdulillah, anak-anak pun meningkat dewasa, yang sulung berumur 24 tahun, anak kedua 22 tahun dan yang bongsu 20 tahun. Kami semua meneruskan kehidupan macam biasa. Anak lelaki yang sulung kini mengikuti pengajian ijazah kejuruteraan awam di UiTM (Universiti Teknologi MARA) Shah Alam, hampir menamatkan pengajiannya.

“Anak lelaki kedua ambil ijazah dalam kejuruteraan perisian di UMPSA (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah), manakala anak perempuan bongsu pula mengikuti pengajian diploma di UiTM Seri Iskandar. Nak mendaki untuk meneruskan kehidupan seharian itu, bukanlah mudah pada masa itu, namun alhamdulillah semuanya kuasa Allah SWT, saya jadi kuat. Anak-anak pun sudah faham akan kehilangan ayah mereka,” katanya.

Ditanya tentang harapan terhadap usaha mencari kebenaran mengenai insiden MH370, Nurlaila mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia yang tidak pernah berhenti dalam meneruskan pencarian MH370.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan, kepada MAS dan juga terutamanya kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan selalu berdoa untuk kami. Dengan doa rakyat Malaysia, malah satu dunia, suami saya dapat doa daripada satu dunia. Itu yang saya sangat bersyukur,” katanya.

Perasaan yang sama turut dikongsikan anak kepada Anne Daisy yang juga penumpang MH370, Grace Subathirai Nathan, 38, yang mengakui perjalanan hidup keluarganya sepanjang 12 tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah, terutama pada peringkat awal kehilangan itu.

“Sudah tentu, pada mulanya memang sukar kerana terdapat begitu banyak ketidakpastian. Kami mengambil masa untuk memproses maklumat yang diterima. Pada awalnya kami tidak tahu apa yang terjadi, malah sekarang pun kami masih tidak tahu, namun lama-kelamaan kami dapat menanganinya,” katanya ketika dihubungi.

Grace yang bekerja sebagai peguam itu berkata antara cabaran terbesar yang dihadapi keluarganya ialah menyesuaikan diri dengan kehilangan seorang ahli keluarga serta perubahan mendadak dalam kehidupan seharian.

Lebih menyentuh hati katanya, apabila insan yang dirindui itu tidak lagi berada bersama keluarga pada detik-detik penting dalam kehidupannya.

“Ibu tiada semasa hari konvokesyen saya, ibu tiada pada hari perkahwinan saya, dan dia juga tidak dapat bertemu dengan cucu-cucunya. Saat-saat itulah kerinduan terhadap pada ibu paling dirasai,” kata wanita kepada dua cahaya mata itu.

Walaupun berdepan dengan kehilangan yang sukar, Grace berkata beliau turut terharu dengan sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak sejak kehilangan MH370.

“Daripada pengalaman peribadi, saya lihat ramai yang bersimpati, dan ada juga yang mengambil berat. Terutamanya pada 10 tahun pertama, kami menganjurkan acara memperingati mangsa setiap tahun, ramai yang pemurah, ada yang menaja skrin LCD, ada juga yang membantu kami dari segi venue dan penyelarasan.

“Kami melihat ramai orang memahami bahawa kami sedang melalui saat-saat yang sukar dan mereka bersedia membantu menganjurkan dan menyokong acara ini,” katanya.

Di sebalik segala persoalan yang masih belum terjawab berhubung kehilangan MH370, keluarga mangsa tetap meneruskan kehidupan sebaik mungkin dan mereka belajar menerima kenyataan dengan cara masing-masing sama ada menemui kekuatan melalui sokongan keluarga dan sahabat atau menenangkan hati dengan harapan bahawa suatu hari nanti kebenaran akan terungkai.

Pesawat MH370 dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada 6.30 pagi waktu tempatan, namun gagal dikesan menerusi radar dan tidak pernah sampai ke destinasinya.

Meskipun operasi pencarian, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan telah dilakukan secara bersama oleh Malaysia, Australia dan China, pesawat itu gagal dikesan dalam zon pencarian utama di selatan Lautan Hindi.

Sejak itu, beberapa serpihan pesawat yang disahkan atau dipercayai berasal daripada MH370 telah ditemukan di sepanjang pantai di barat Lautan Hindi termasuk Mozambique, Madagascar dan Pulau Réunion.- Bernama

Continue Reading

Previous: 649 rakyat Malaysia masih terkandas di Asia Barat – Kementerian Luar
Next: Pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi masih tiada petunjuk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.