
MIRI: Seramai 12 peserta dari Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Bahagian Miri berpeluang merasai pengalaman unik dan penuh bermakna menerusi aktiviti mencanting batik lukis.
Aktiviti itu diadakan dalam program lawatan sambil belajar yang berlangsung di Kaneth Legacy, Permyjaya semalam.
Peserta terdiri daripada pekebun kecil dan usahawan bimbingan RISDA dari kawasan Kuala Sibuti, Kelulit dan Kampung Melayu Beluru, Bakong menyifatkan program itu sebagai satu pengalaman baharu yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membuka peluang untuk menjana idea keusahawanan.
Program lawatan yang bertujuan memperkasa pengetahuan dan kemahiran wanita pekebun kecil itu turut memberi pendedahan kepada nilai serta kehalusan seni batik tempatan, selain memupuk minat terhadap industri kreatif yang berpotensi menjana pendapatan.
Dalam sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh Stanley Wan, usahawan batik terkenal dan pemilik Kaneth Legacy, para peserta mempelajari teknik mencanting batik secara langsung sambil memahami keunikan warisan seni tempatan yang kini semakin mendapat sambutan, terutamanya di sekitar Bandaraya Miri.
“Teknik lukisan batik ini sangat menarik dan boleh dijadikan asas kepada satu produk kreatif yang bernilai tinggi. Ramai peserta teruja untuk mencuba sendiri,” kata salah seorang peserta.
Lebih daripada sekadar seni, program ini turut menjadi platform interaktif bagi peserta berkongsi idea dan membina jaringan perniagaan, terutamanya dalam kalangan usahawan wanita yang menjalankan pelbagai bidang seperti penghasilan kek lapis, kerepek, katering, jahitan dan kraftangan manik.
Jurucakap PWPK Miri menjelaskan bahawa lawatan seperti ini adalah antara inisiatif bulanan mereka bagi memperkasakan wanita pekebun kecil di luar bandar.
“Selain ilmu ekonomi, kami juga tekankan aspek sosial dan spiritual melalui pelbagai aktiviti seperti kelas memasak, sukan rakyat, gotong-royong dan ceramah keagamaan,” katanya.
Sementara itu, Stanley Wan bukan sahaja merupakan satu-satunya usahawan RISDA dari Sarawak yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan ‘Groom Big Challenge’, malah turut membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM50,000, di Negeri Sembilan baru-baru ini.
Sebelum ini, beliau juga menerima bantuan geran daripada RISDA menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebanyak RM20,000, serta sokongan pembungkusan dan penjenamaan bernilai RM10,000.
Oleh Adi Safarman