
SIBU: Sebanyak 12 permohonan lesen perniagaan diterima pada hari pertama pelaksanaan projek rintis Ease of Doing Business (EODB) di daerah ini, hari ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, daripada jumlah itu, lapan merupakan permohonan baharu untuk lesen operasi merangkumi pendaftaran nama perniagaan, lesen perniagaan dan lesen operasi, manakala empat lagi hanya melibatkan lesen perniagaan.
“Projek ini hanya dilaksanakan di Daerah Sibu dan Kanowit sebagai projek perintis.
“Matlamat utama adalah untuk membantu orang awam dan komuniti perniagaan menjalankan urusan pelesenan dengan lebih mudah dan pantas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu.
Menurutnya, sebelum ini, pemohon perlu mengunjungi tiga lokasi berbeza untuk mendaftarkan nama perniagaan, mendapatkan lesen perniagaan dan lesen operasi, tetapi kini semua proses itu boleh dilakukan di satu lokasi sahaja iaitu di Pusat Perkhidmatan Sarawak atau UTC.
“Dulu perlu isi tiga borang dan semak status permohonan di tiga tempat berbeza. Sekarang, hanya satu borang, satu kaunter, satu bayaran, dan pemohon hanya perlu datang dua kali. Satu kali untuk memohon dan satu lagi untuk mengambil lesen,” katanya.
Jelas beliau yang juga penasihat projek, permohonan bagi dua keperluan asas iaitu nama perniagaan dan lesen perniagaan akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja sekiranya tidak melibatkan lesen operasi.
Bagi perniagaan yang memerlukan lesen operasi seperti kedai makan, penjaja dan kantin, permohonan akan cuba diselesaikan dalam tempoh 14 hari bekerja bagi kes berisiko rendah.
Sementara itu, bagi kategori berisiko tinggi seperti pusat tuisyen, pusat hiburan, karaoke dan penyimpanan petroleum yang memerlukan pemeriksaan jabatan teknikal seperti polis, bomba dan pendidikan, permohonan disasarkan diluluskan dalam tempoh 30 hari bekerja.
Hii berkata, projek rintis selama enam bulan itu juga bertujuan mengkaji keberkesanan sistem baharu sebelum sebarang pindaan kepada undang-undang sedia ada dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi pusat sehenti sepenuhnya.

“Ketika ini, kelulusan masih melibatkan tandatangan Pegawai Daerah dan Perbendaharaan. Jika pelaksanaan ini terbukti berkesan, pindaan undang-undang boleh dibuat untuk memberi kuasa penuh kepada majlis daerah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pusat Perkhidmatan Sarawak dibuka tujuh hari seminggu, namun permohonan hanya diterima pada hari bekerja sahaja berikutan keperluan pemprosesan kutipan bayaran dan operasi bank.
“Kita juga menggalakkan penggunaan e-pembayaran sebagai langkah ke arah transaksi tanpa tunai. Waktu operasi kekal seperti sebelum ini iaitu dari 8.00 pagi hingga 3.30 petang, Isnin hingga Jumaat,” katanya.
Hii turut menggesa komuniti perniagaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan projek tersebut yang dijangka memberi manfaat besar kepada usahawan tempatan.
Oleh Tarani Lanting