
MIRI: Sebanyak 12 motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sekitar bandar raya ini, baru-baru ini.
Operasi yang berlangsung dari 11.00 malam hingga 3.00 pagi pada 24 Januari lalu meliputi beberapa lokasi tumpuan termasuk Tanjong Lobang, Piasau, Marina, Tudan serta Jalan Miri-Bypass.
Menurut Polis Daerah Miri (IPD) menerusi hantaran di Facebook malam tadi, seramai 18 lelaki bersama 15 motosikal telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Hasil operasi, sebanyak 34 keping saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. Manakala, 12 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya.
IPD menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
Oleh Liong Chai Ling