KUCHING: Bahagian barat Sarawak akan mengalami banjir disebabkan angin pusaran Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini hingga Mac 2021.
Ia merangkumi Sebuyau, Simunjan, Serian, Samarahan dan Siburan yang akan mengalami banjir akibat air pasang besar.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman, bahagian utara seperti Lawas, Limbang, Miri dan Lembah Baram tidak mengalami banjir setakat ini serta mengalami cuaca kering dan penduduk di sana tidak perlu khuatir.
“JBPM siap sedia menghadapi kemungkinan banjir disebabkan angin pusaran Monsun Timur Laut yang bermula bulan ini hingga Mac 2021,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JBPM Sarawak, semalam.
Tambahnya, seramai 1,194 orang Pegawai Sepenuh Masa (PSM) akan dikerah bag membantu pihaknya dalam membuat pemantauan, operasi menyelamat dan memberi maklumat.
“Dalam pada itu, kita turut dibantu Pegawai Bomba Bantuan (PBB) seramai 230 orang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) 2,259 orang, Bomba Komuniti 7,453 orang, Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) 10,107 orang dan peserta Summer Camp 820 orang,” ujarnya.
Jelasnya lagi, angin pusaran monsun timur laut yang melanda Vietnam dan Filipina telah menjejaskan teruk keadaan di kedua-dua buah negara manakala Sarawak hanya terkena tempias daripada ekor pusaran angin monsun itu.
“Kekuatan aset jentera di Balai Bomba dan Penyelamat kawasan Kuching, Sibu dan Miri terdiri daripada lori (16 unit), kenderaan utiliti pacuan empat roda (67 unit), bot penyelamat (45 unit), helikopter (1 unit),” katanya.
Kesemua operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir akan dijalankan mengikut ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
“Setiap bot menyelamat akan disediakan pelitup muka dan pensanitasi tangan serta bilangan penumpang akan dikurangkan untuk mengamalkan penjarakan fizikal pada setiap masa,” tegasnya.
Oleh Nur Ain Otsman