PETRA JAYA: Sebanyak 1,180 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan berdasarkan imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), sekali gus menyumbang kepada keadaan jerebu yang semakin memburuk di rantau ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 29 Ogos, sebanyak 18 titik panas turut dikesan di Sumatera manakala 13 lagi dikesan di Malaysia.
Daripada jumlah 13 titik panas di Malaysia itu, sembilan dikesan di Sarawak, dua di Sabah dan dua di Perak.
Menurut JAS, keadaan kualiti udara di negara ini merosot dengan beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya.
Dua kawasan di Sarawak iaitu Stesen Pengawasan Pencemaran Udara (IPP) Serian dan Samarahan masing-masing merekodkan IPU 374 dan 306, sekali gus berada pada tahap berbahaya.
Kuching dan Sri Aman pula merekodkan bacaan IPU masing-masing 295 dan 214, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.
JAS berkata, peta jerebu serantau ASMC pada 29 Ogos menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, manakala titik panas yang meluas dikesan di Kalimantan.
“Keadaan jerebu sederhana hingga tebal turut diperhatikan di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta bahagian tengah dan selatan Sumatera,” menurut kenyataan itu.
Katanya, kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Susulan peningkatan aktiviti titik panas dan keadaan jerebu yang semakin meluas di rantau ASEAN Selatan, Sekretariat ASEAN turut mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi Rantau Selatan ASEAN berkuat kuasa 27 Ogos 2026 selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) MAJER ASEAN.





