
BELADIN: Empat sekolah menengah di kawasan Parlimen Batang Lupar menerima sumbangan sebanyak 116 unit televisyen pintar (Smart TV) menerusi Program Sarana Ibu Bapa dan Penyerahan Peranti Digital yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin, semalam.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, berkata sumbangan tersebut diagihkan seperti berikut: 35 unit untuk SMK Beladin, 35 unit untuk SMK Pusa, 20 unit untuk SMK Lingga, dan 26 unit untuk SMK Sebuyau. Semua unit yang disumbangkan adalah bersaiz 65 inci.
“Sumbangan 116 unit televisyen pintar ini bertujuan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), menjadikannya lebih menarik, interaktif dan berkesan di bilik darjah.
“Diharapkan ia dapat membantu kemenjadian murid serta menyumbang kepada peningkatan keputusan peperiksaan di keempat-empat sekolah menengah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Shafizan turut menekankan bahawa kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta komuniti setempat amat penting dalam menangani isu ketidakhadiran pelajar yang semakin membimbangkan, khususnya di SMK Beladin.
“Saya yakin jika semua pihak berganding bahu, isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” tambahnya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Oleh Adi Safarman