
SRI AMAN: Sebanyak 1,156 peserta dari dalam dan luar kawasan Sri Aman menyertai Larian Laluan Jalan Benak 2025 yang berlangsung di Tebingan Sri Aman, hari ini.
Program anjuran bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melalui JKR Bahagian Sri Aman dan Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman itu dirasmikan oleh Datuk Mong Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan.
Acara yang bermula seawal 6.00 pagi itu membabitkan tiga kategori iaitu Jalan Santai 5 km Si Cilik, Larian Santai 5 km dan Larian 10 km.
Kategori Larian 10 km dilepaskan pada 6.30 pagi diikuti kategori 5km pada 6.45 pagi.
Larian Benak 2025 menjadi acara pembuka tirai Pesta Benak Sri Aman 2025 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 September ini.
Menurut kenyataan JKR Sarawak, penganjuran ini membuktikan komitmen jabatan dalam memperkukuh gaya hidup sihat, merapatkan hubungan dengan masyarakat dan mendukung aktiviti komuniti di samping melaksanakan peranan utama dalam pembangunan infrastruktur.
Turut hadir memberikan sokongan, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Engkilili, Dr. Johnical Rayong Ngipa dan Timbalan Pengarah Sektor Infrastruktur JKR Sarawak, Wisil Lichok.
Oleh Amanda L