
MIRI: Seramai 1,134 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di sini masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM100 dan bakul makanan pada majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Dayak tahun ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Kanak-Kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu, Datuk Rosey Yunus yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah pada majlis yang diadakan di Hotel Dynasty di sini hari ini.
“Pada majlis Sejambak Kasih yang diadakan hari ini, para penerima yang dijemput hadir adalah seramai 150 orang.
“Mereka akan menerima sumbangan iaitu wang tunai bernilai RM100, manakala 100 orang penerima yang lain juga telah menerima wang tunai pada majlis Sejambak
Kasih Hari Gawai Dayak Niah 2025 di Dewan Masyarakat Sepupok Niah yang diadakan pada 16 Mei akan datang.
“Manakala, 884 orang lagi yang lain dan tidak berpeluang hadir pada hari ini sumbangan RM100akan dikreditkan ke akaun masing masing,” katan Dato Sri Fatimah dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Rosey.
Menurut Fatimah, sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan penerima khasnya kawasan
Miri dalam persediaan menyambut perayaan Hari Gawai Dayak yang bakal menjelang.
“Selain itu, untuk membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan sekaligus dapat menambah barangan keperluan yang sedia ada,” katanya.
Majlis Sejambak Kasih ini diadakan adalah kerjasama erat diantara pihak Dynasty Hotel Miri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri.
Oleh Liong Chai Ling