KUCHING : Seramai 113 orang pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)Negeri di atas khidmat bakti dan kecemerlangan prestasi perkhidmatan yang dihulurkan sepanjang tahun 2019.
Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, seramai 62 orang penerima menerima APC semalam, manakala bakinya seramai 51 orang yang akan menerima di majlis yang akan diadakan di Miri pada 10 Julai nanti.
“Penganugerahan yang dikalungkan kepada penerima pada hari ini (semalam) adalah sebagai salah satu motivasi, dan tanda pengiktirafan, serta apresiasi jabatan, di atas kesungguhan dan dedikasi penerima dalam melaksanakan tanggungjawab demi keunggulan organisasi ini.
“Semoga dengan pengiktirafan ini ia akan menyuntik semangat, dan mencetus inspirasi, kepada semua warga JBPM, untuk berkhidmat dengan lebih dedikasi dan cemerlang,” ujarnya dalam ucapan semasa majlis yang diadakan di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini.
Beliau berharap JBPM akan terus menjadi agen perubahan, terus teguh mendukung dasar kerajaan, serta sentiasa deras memperkasakan penyampaian perkhidmatan kebombaan, dalam menjaga keselamatan dan kemakmuran negara.
Pada sidang media selepas majlis, Khirudin turut memaklumkan sehingga semalam pihak JBPM telah melakukan 1332 sanitasi awam melibatkan semua kawasan.
“Kita juga melaksanakan pemeriksaan permis bagi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu sebanyak 515 premis telah diperiksa oleh pasukan petugas khas (Task Force) JBPM meliputi pasar raya,restoran, pejabat kerajaan, bank , terminal pengangkutan darat, udara dan air, tempat ibadat, tapak pembinaan dan pasar tani.
“Pasa masa sama, misi Humanitarian Assitance Disaster Relleave (HADR) telah dilaksanakan lebih kurang 161 misi melibatkan penghantaran makanan 58 misi, pemindahan mangsa positif covid (15), membawa Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) menjalani ujian sapu (39) misi dan lain- lain bantuan logistik dan penyediaan tempat kuarantin lima misi.
“Begitu juga misi membawa penumpang penerbangan disyaki positif dari lapangan terbang ke pusat kuarantin sebanyak 43 misi , dan juga membawa pelajar terkandas dua misi (di Lawas) melalui sempadan menggunakan bot,” ujarnya.
Beliau mengatakan pihak bomba sentiasa ke hadapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan setakat ini tiada permintaan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ataupun organisasi bantuan yang ditolak oleh JPBM.
“Semua permintaan telah kita laksanakan dengan teratur dan kita dapat memenuhi kehendak mereka dan proses berjalan dengan baik,” katanya.
Oleh Alexandra Lorna