

POLIS menurunkan 112 keping iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen dalam Op Vulture di sekitar Daerah Sibu, semalam.
SIBU: Polis menurunkan sebanyak 112 keping iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen dalam Op Vulture yang dijalankan di sekitar Daerah Sibu, semalam.
Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu, bagi mengekang kegiatan pengiklanan perkhidmatan pemberi pinjaman wang yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, sepanjang operasi yang dijalankan, sebanyak lima laporan polis telah dibuat melibatkan tindakan menurunkan 112 iklan yang digantung secara tidak sah di tiang tanda isyarat dan tiang lampu di sekitar Jalan Sungai Antu, Jalan Wong Ting Hook, Jalan Igan, Jalan Teng Chin Hua dan Jalan Serai.
“Tindakan ini diambil ekoran dari aduan awam dan usaha berterusan pihak polis dalam membanteras kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang turut menyumbang kepada pelbagai masalah, terutamanya dalam kes penipuan kewangan serta pemerasan terhadap peminjam,” jelasnya menerusi kenyataan, malam tadi.
Katanya, pihak polis memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak agar tidak menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).
“Sebarang aktiviti seumpama itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan iklan-iklan yang dipasang di tempat awam tanpa sumber yang sah, dan digalakkan melaporkan terus kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang bentuk pengiklanan mencurigakan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman