110 MBPK serlah bakat menerusi Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas

Facebook
WhatsApp
PERASMIAN...Dr Safiee merasmikan majlis penangguhan Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas Zon Tengah 2026 anjuran SK Hijrah Badong, hari ini.

DARO, 7 Oktober: Seramai 110 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) menyertai Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas Zon Tengah 2026, yang menjadi platform untuk mencungkil bakat, menggilap potensi serta meningkatkan keyakinan diri mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata penganjuran karnival itu bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya memberi peluang kepada MBPK untuk menyerlahkan keunikan dan kebolehan masing-masing.

“Karnival Pendidikan Khas yang kita raikan hari ini bukan sahaja sebuah medan pertandingan, malah merupakan platform penting untuk mencungkil bakat, menggilap potensi serta membina keyakinan diri murid pendidikan khas.

“Di sinilah mereka diraikan dan diberi peluang untuk menyerlahkan keunikan serta keistimewaan masing-masing. Saya percaya pengalaman ini akan menjadi kenangan yang amat bermakna dalam hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penangguhan Karnival Sukan dan Kesenian Pendidikan Khas Zon Tengah 2026 anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong, hari ini.

Menurut Dr Safiee, pendidikan khas merupakan amanah bersama yang bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran kepada MBPK, malah melengkapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan nilai murni supaya mampu berdikari serta menyumbang kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada guru pendidikan khas atas kesabaran dan dedikasi dalam mendidik MBPK, selain ibu bapa serta penjaga yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada perkembangan anak-anak berkenaan.

“Tanpa sokongan, pengorbanan dan doa daripada ibu bapa, pencapaian anak-anak ini tidak akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk memperkukuh pendidikan khas seiring dengan agenda pembangunan negeri menuju Sarawak maju menjelang 2030.

Katanya, usaha itu termasuk meningkatkan prasarana pendidikan, menyediakan latihan dan pembangunan profesionalisme guru serta memperkasa program yang memberi manfaat kepada MBPK.

“Justeru, saya menyeru semua pihak supaya terus berganding bahu dan memperluas sokongan bagi memastikan MBPK tidak tercicir serta diberikan ruang dan peluang sewajarnya untuk mengembangkan potensi mereka.

“Setiap seorang daripada mereka adalah permata yang berharga dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memberikan ruang serta peluang terbaik kepada mereka,” katanya.

Karnival berkenaan melibatkan dua kategori, iaitu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah menengah dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), serta kategori PPKI sekolah rendah.

Sebanyak lima acara dipertandingkan, iaitu petanque yang melibatkan 33 peserta, nyanyian (10), tarian ala Bollywood (38), kolaj (25) dan dekorasi kek yang melibatkan empat peserta.

Penyertaan membabitkan PPKI sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro, selain peserta dari Bahagian Mukah dan Sibu.

Antara sekolah dan pusat yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, SK Sungai Ud Mukah, SK Jalan Deshon Sibu, PPDK Al-Syafie Daro dan PPDK Pulau Bruit Daro.

Oleh Akun Giman