Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • 11 syarikat pengendali kenderaan barangan, 17 syarikat bas ekspres miliki saman tertunggak tertinggi – Loke
  • SEMASA

11 syarikat pengendali kenderaan barangan, 17 syarikat bas ekspres miliki saman tertunggak tertinggi – Loke

Utusan Sarawak 6 hours ago
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media hari ini. Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia hari ini mengumumkan senarai syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 333, Akta 334 dan Akta 715. Pengumuman ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MOT dan JPJ bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya, serta langkah untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pengangkutan (MOT) hari ini mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antara syarikat terbabit ialah KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Mantap Sdn Bhd (3,620), Cepat Ekspres Sdn Bhd (540) dan New Hoover Ekspress & Travels Sdn Bhd (512).

Beliau berkata semua syarikat terbabit diberi tempoh selama 14 hari bermula hari ini untuk menyelesaikan semua saman tertunggak di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau cawangan.

“Kegagalan untuk berbuat demikian akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, termasuk menyenarai hitam kenderaan terlibat serta-merta.

“Tiada diskaun akan diberikan. Semua saman perlu dibayar mengikut kadar sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata saman terbabit melibatkan kesalahan yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Beliau berkata lima kesalahan utama yang dikesan ialah memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu, kesalahan teknikal, lebih muatan serta tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau perlindungan insurans.

Mengulas mengenai rasional pendedahan nama dan tindakan tegas ini, Loke berkata ia merupakan satu bentuk amaran kepada syarikat terlibat agar lebih mengutamakan aspek keselamatan serta menggaji pemandu yang terlatih dan berdisiplin.

“Ini sebagai amaran supaya mereka mengubah budaya pengendalian syarikat,  satu budaya yang menitikberatkan keselamatan kenderaan dan memastikan setiap pemandu mematuhi aspek keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kategori syarikat tersebut ketika ini.

“Walaupun agak drastik dan tidak pernah dilakukan sebelum ini (iaitu mendedahkan nama syarikat), kerajaan mengambil langkah ini kerana masyarakat mahu melihat perubahan budaya. Kita tidak mahu lagi berlaku tragedi yang meragut banyak nyawa. Biarlah tragedi UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) menjadi pengajaran,” katanya.

Loke turut memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan pelbagai lagi langkah penguatkuasaan dan pencegahan pada masa hadapan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.– Bernama

Continue Reading

Previous: PUSPANITA lancar skuad sukarelawan untuk misi bantuan bencana, krisis
Next: Isu warga Pakistan peroleh kad pengenalan tular semula, tindakan telah diambil – JPN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.