KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak telah menganjurkan Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak 2022 yang disertai sebanyak 11 agensi kerajaan di Stadium Sarawak, hari ini.
Pengarah APM Sarawak, Abdul Wahab Rahim berkata pertandingan ini merupakan edisi pertama dibuat kategori umur veteran iaitu 40 tahun ke atas.
“APM mengambil iniasiatif untuk memastikan bahawa senario bola sepak di negeri Sarawak dihidupkan melalui ekosistem bola sepak di pelbagai peringkat.
“Saya berterima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki kerana memberi komitmen yang tinggi untuk kami menganjurkan pertandingan ini.
“Kami merancang untuk menganjurkan piala ini pada tahun hadapan untuk kategori terbuka hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak Sarawak dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK).
“Kami juga berharap dengan komitmen ini, peminat bola sepak di Sarawak akan merasakan suasana sukan ini dapat diteruskan supaya meletakkan bola sepak Sarawak dalam kedudukan yang bagus di liga Malaysia,” katanya selepas perasmian Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak 2022 di Stadium Sarawak, hari ini.
Pada majlis sama, antara 12 Agensi Kerajaan yang menyertai pertandingan ini ialah Angkatan Pertahanan Awam Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia RTM, Jabatan Pendidikan Samarahan, Polis Diraja Malaysia IPK, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Jabatan Tanah & Survei Sarawak, Kuching Port Authority dan Perbadanan Pembangunan Perumahan.
Pada masa yang sama, perlawanan akhir Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak 2022 akan diadakan pada 1 November bertempat di Stadium Negeri.
Pasukan yang menjuarai akan membawa pulang RM3,000 beserta piala, tempat kedua akan membawa pulang RM2,000 beserta piala dan tempat ketiga bersama akan RM1000 serta piala.