

KAPIT: Penyerahan Projek Siap, Pembinaan dan Pemasangan Bekalan Air Telaga Tiub di Sarawak (11 projek) di Dewan SK Rantau Panjai, hari ini, menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan akses air bersih yang stabil, berkualiti dan selamat dinikmati oleh warga luar bandar.
Sebanyak 11 sekolah terlibat dengan projek tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena, SK Rantau Panjai, SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Merit, SK Ulu Pelagus, SK Lubok Mawang, SK Nanga Kain, SK Nanga Tiau, SK Bebangan, SK Nanga Ibun dan SK Nanga Entuloh.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada warga sekolah, malah memperkukuhkan ekosistem pembangunan luar bandar secara keseluruhan.
“Ini bukan sekadar penyediaan kemudahan, tetapi lambang keprihatinan kerajaan agar tiada sesiapa pun tercicir, walau sejauh mana mereka berada,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek siap itu di Dewan SK Rantau Panjai, hari ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, projek telaga tiub itu dilaksanakan melalui peruntukan RM11,488,729 bagi membangunkan sistem bekalan air telaga tiub di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak pada 2025.
Menurutnya, pelaksanaan projek merangkumi pembinaan tangki takungan, ‘elevated water tank’, rumah pam, sistem mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja luaran, termasuk komponen pembaikan melibatkan kaedah geofizik dan penggerudian bagi memastikan piawaian keselamatan dan kualiti air dipenuhi sepenuhnya.
“Daripada 11 sekolah terlibat, tujuh daripadanya telah siap dan kini menerima manfaat bekalan air bersih. Empat lagi sekolah masih belum dapat mengeluarkan air kerana kapasiti sumber tidak mencapai standard minimum.



“Bagi menangani isu itu, JKR telah mengemukakan kaedah alternatif kepada Kementerian Pendidikan (KPM) melalui kontrak susulan yang sedang dirangka.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan tidak berhenti pada penyerahan hari ini. Usaha berterusan sedang dijalankan supaya semua sekolah turut mendapat manfaat yang sama,” katanya.
Nanta turut menggesa sekolah-sekolah yang menerima kemudahan tersebut untuk menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana bekalan air bersih merupakan aset kritikal yang perlu dipelihara.
“Penjagaan yang baik memastikan manfaat ini dinikmati bukan sahaja oleh pelajar hari ini, tetapi juga generasi akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa komited memastikan sekolah pedalaman menikmati tahap kemudahan asas yang setara dengan sekolah di bandar.
“Projek telaga tiub ini merupakan sebahagian daripada rangkaian inisiatif yang sedang digerakkan ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan mampan untuk anak-anak kita,” kata beliau.
Projek Pembinaan dan Pemasangan Bekalan Air Telaga Tiub di Sarawak yang merangkumi 11 lokasi itu dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM11,488,729.
Projek berkenaan mula dilaksanakan pada 14 Mac 2023 dan berjaya disiapkan pada 17 November 2025.
Oleh Akun Giman