BEKENU: 11 penghuni sebuah rumah di Kampung Labau, KM62 Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku sekitar 7.30 pagi.
Pada masa sama, salah seorang daripada ahli keluarga mangsa gagal ditemui dalam kejadian malang itu.
Bagaimanapun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Francis Aceh berkata, bahawa tiada penemuan mangsa rentung pada kejadian itu walaupun operasi mencari mangsa dijalankan sebanyak tiga kali.
Mangsa yang selamat ialah Aba Othman, 58 dan isteri Kamariah Ahmad, 48 dan enam anak berusia antara sembilan hingga 29 tahun, dua cucu masing-masing berusia 7 dan 10 tahun manakala seorang lagi anak mangsa yang berusia 21 tahun masih hilang.
Dalam kejadian itu, seramai lapan anggota bomba dari BBP Batu Niah dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.43 pagi selain turut dibantu enam anggota untuk operasi mencari mangsa yang dilaporkan hilang.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal musnah 100 peratus ketika bomba tiba di lokasi.
“Pihak bomba juga berusaha mencari mangsa di lokasi kebakaran sebanyak tiga kali selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Mengulas mengenai kehilangan salah seorang anaknya, Aba Othman memberitahu, selepas menghantar anak dan cucunya ke sekolah sebelum balik semula ke rumah dan mendapati salah seorang anaknya (hilang) masih tidur di dalam biliknya.
“Saya ambil parang dan melihat anak saya masih tidur sebelum keluar ke kebun berjalan kaki. Ketika membuat kerja di kebun, seorang penduduk kampung datang sambil memberitahu rumah kami sedang terbakar dan bergegas balik,” jelasnya.
Tambahnya, peristiwa itu merupakan kali kedua dialami keluarganya selepas kejadian pertama sekitar 2007.
Manakala, isteri Aba ketika ditemui berkata, anaknya keluar memancing bersama kawan pada Isnin lalu namun tidak pasti jika anaknya balik memancing atau sebaliknya pada 1.00 pagi.
“Alat pancing ditemui, namun tidak dapat dipastikan sama ada anaknya keluar semula atau sebaliknya selepas itu,” ujarnya.
Turut hadir, dua Pegawai Penyiasatan Pasukan Forensik Kebakaran dari Zon 6 Sarawak untuk membantu membuat siasatan sepenuhnya.
Pengesanan dilakukan dengan membahagikan kawasan mengikut zon tapak kebakaran berkenaan iaitu kawasan bilik mangsa, kawasan tandas, kawasan ruang tamu dan kawasan dapur, namun tiada sebarang petunjuk penemuan mangsa di lokasi terbakar.
Setelah berbincang, pencarian mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi menjejaki mangsa yang hilang.
Turut terlibat dalam operasi ialah anggota polis dari Balai Polis Bekenu.
Oleh Adum Liu