

BINTULU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman 11 pegawai sebuah agensi penguat kuasa bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah sekitar RM239,000.
Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Majistret Bintulu hari ini selepas permohonan dikemukakan SPRM.
Mahkamah membenarkan enam suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini, empat lagi selama lima hari sehingga 7 Februari, manakala seorang suspek direman tiga hari sehingga Khamis.
Kesemua suspek lelaki berusia antara 20 hingga 40-an ditahan antara 11.50 pagi hingga 4.00 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Bintulu.
Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai berlaku antara 2020 hingga 2025, membabitkan permintaan rasuah daripada ahli keluarga banduan sebagai balasan menjaga keselamatan serta memudahkan urusan mereka.
Kesemua suspek disyaki menerima bayaran antara RM2,400 hingga RM45,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank milik isteri dan orang tengah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.