KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukan sejumlah RM405 juta bagi program Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 (BKSS 5.0) sebagai usaha meringankan beban rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pendekatan yang merangkumi 11 langkah yang diperkenalkan di dalam BKSS sebelum ini akan dipanjangkan bermula Januari ini hingga Jun nanti.
“Kerajaan Sarawak akan memberikan diskaun sebanyak lima hingga 25 peratus ke atas bil elektrik yang memberi manfaat kepada 642,000 isi rumah dan melibatkan kos keseluruhan bil berjumlah RM166.2 juta.
“Selain itu, diskaun sebanyak 10 hingga 25 peratus ke atas bil air dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM31.5 juta dijangka akan memberi manfaat kepada 568,000 isi rumah di seluruh Sarawak.
“Kedua-dua diskaun bil bulanan sepanjang Januari hingga Jun yang akan memberikan manfaat kepada pengguna domestik, komersial dan industri ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” katanya ketika sidang media pengumumam BKSS 5.0 yang berlangsung menerusi platform atas talian Zoom, semalam.
Menurut beliau, tumpuan BKSS kali ini turut lebih mengarah kepada membantu meringankan kos sara hidup rakyat di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) yang dikuatkuasakan baru-baru ini.
Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan diskaun sebanyak 50 peratus sewa bagi Skim Perumahan HDC yang dilaksanakan sepanjang Januari hingga Jun 2021.
Jelasnya, diskaun ini akan memberikan manfaat kepada 3,200 penyewa Skim Perumahan HDC di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan dianggarkan melebihi RM3 juta.
“Di samping itu, Kerajaan Sarawak turut mengenakan diskaun 30 peratus pembayaran cukai tanah bagi tahun 2021 melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM11.8 juta.
“Langkah ini akan memberikan manfaat kepada lebih 52,400 tempat kediaman, pusat komersial dan industry, perladangan berskala besar dan lain-lain kemudahan awam,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Abang Johari turut mengumumkan penangguhan pembayaran premium tanah bagi tahun 2021 secara sekali bayaran (one-off) sahaja.
Jelasnya, sebanyak lebih 1,720 pemilik tanah di seluruh Sarawak merangkumi tanah pertanian, kediaman, komersial dan industri seperti institusi awam dan swasta akan menikmati manfaat ini.
Dalam hal berkaitan, beliau turut memaklumkan beberapa lagi langkah yang diumumkan menerusi BKSS 5.0 kali ini adalah tertumpu kepada para peniaga di setiap peringkat di negeri ini bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan mereka.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP