
JAKARTA: Seramai 11 orang dilaporkan hilang manakala tujuh lagi terselamat selepas sebuah bot laju terbalik di perairan Pulau Mentawai, wilayah Sumatera Barat, Indonesia pada Isnin, menurut Ketua Unit Kecemasan Pejabat Mencari dan Menyelamat Tempatan, Dio Ulwi Finanda.
Beliau berkata bot berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Sikakap menuju ke Pulau Sipora, kedua-duanya terletak dalam gugusan Kepulauan Mentawai.
“Kejadian berlaku sekitar 11.00 pagi waktu Jakarta. Namun, tujuh penumpang berjaya berenang ke darat,” katanya kepada Xinhua awal pagi Selasa.
Susulan laporan insiden itu, pihak berkuasa mencari dan menyelamat (SAR) mengerahkan sebuah bot dan sebuah kapal bersama anggota penyelamat ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, bot laju itu tidak lagi kelihatan ketika pasukan tiba di kawasan terbabit.
“Usaha mencari serpihan bot dan mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan. Setakat ini, belum ada penemuan,” kata Finanda.
Operasi SAR dijadual disambung semula pada Selasa. Punca kejadian masih belum diketahui.
Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran berhubung keadaan cuaca ekstrem di perairan negara itu.– Bernama-Xinhua