
SIBU: Seramai 11 atlet dari Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang akan mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Taekwondo Antarabangsa Heros Ke-7 2025 yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 10 Ogos di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.
Kontinjen yang terdiri daripada enam atlet lelaki dan lima atlet perempuan itu akan berlepas pada 6 Ogos ini diketuai oleh pengurus pasukan Chiew Mee Lin serta jurulatih Wong Ing Sing dan Marcus Ting Zhong Sheng.
Satu majlis penyerahan bendera kontinjen telah diadakan semalam sebagai simbolik sokongan kepada para atlet.
Dalam majlis sama, penasihat kelab yang juga Ahli Jawatankuasa Kesatuan Taekwando Asia (ATU), Dato Sri Lau Kueng Chai turut menyampaikan sumbangan dana tajaan kepada pasukan.
Dalam ucapannya, Lau menasihati para atlet supaya memanfaatkan peluang bertanding di pentas kebangsaan sebagai medan menimba pengalaman, memperkukuh keyakinan diri dan meningkatkan mutu persembahan.
Beliau turut menggesa semua atlet untuk memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Sarawak.
Senarai atlet yang menyertai kejohanan ini ialah Joseph Wong Shou Ho, Ting Foo Wei, Marcus Ting Zhong Sheng, Grace Yong Yin Xing, John Yong Zhen Yu, Darwisy Hakim Muhammad Noor Zaidee, Angel Law Xin Yu, Crystal Sii Qing Wee, Octavianne Nicley Landan Nicholas, Nur Fathia Naazreen Mohammad Fadillah dan Jarren Yong.
Kelab menyasarkan pencapaian cemerlang dengan membawa pulang pingat emas dalam kejohanan yang dijangka disertai pasukan dari seluruh negara.
Oleh Akun Giman