
BINTULU: Seramai 109 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu diraikan atas pencapaian akademik dan kokurikulum cemerlang mereka dalam Majlis Apresiasi Bintulu Port Murid Cemerlang SeBARU 2025.
Majlis yang dianjurkan dengan tajaan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) itu menyaksikan penyampaian pelbagai kategori anugerah sebagai pengiktirafan kepada usaha gigih pelajar mencapai kecemerlangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, pengiktirafan yang diberikan bertujuan menyemai budaya kecemerlangan dalam kalangan pelajar melalui penilaian yang merangkumi aspek akademik, kokurikulum serta pembentukan sahsiah diri.

Menurutnya, sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan merupakan antara keutamaan Bintulu Port sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.
“Program tahunan anjuran bersama pihak sekolah ini lahir daripada satu visi yang murni untuk mengiktiraf para pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam tiga aspek utama iaitu akademik, kokurikulum dan sahsiah.
“Ketiga-tiga elemen ini saling melengkapi dalam membentuk insan holistik, yang bukan sahaja tinggi ilmu pengetahuannya, tetapi juga unggul budi pekerti dan kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB, Maslihah Tioh pada majlis berkenaan yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Khas Skim Galakan Bintulu Port, Anugerah Khas Utama Bintulu Port 2025, Anugerah Tokoh Kokurikulum dan Badan Beruniform, Anugerah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 serta Anugerah Peperiksaan Antarabangsa Bahasa Perancis (DELF Level).
Oleh Carolyne Utih