
KUALA LUMPUR: Seramai 10,435 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), yang berperanan sebagai penghubung antara polis dan sekolah, telah ditempatkan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara setakat ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, 10,245 PPS ditempatkan di sekolah rendah, 7,776 di sekolah menengah rendah dan 2,469 di sekolah menengah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan.
“PPS memainkan peranan penting sebagai jambatan antara polis dan sekolah, memupuk kesedaran jenayah, memberi khidmat nasihat keselamatan serta membantu menangani isu buli dan disiplin dalam kalangan pelajar. Bagi memperkasa PPS, PDRM turut melaksanakan latihan dalam perkhidmatan mengikut kontinjen negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai pemerkasaan peranan PPS bagi tujuan keselamatan dan inisiatif mewujudkan saluran komunikasi berkesan antara polis, warga sekolah, ibu bapa dan murid dalam usaha membendung gejala buli di sekolah.
Shamsul Anuar berkata antara tanggungjawab utama PPS adalah memberi khidmat nasihat kepada pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin murid, selain memantau keperluan keselamatan di sekolah, mengenal pasti masalah, membantu pengurusan keselamatan sebelum dan selepas krisis.
Katanya, PPS turut melaksanakan pendekatan proaktif dengan mengadakan lawatan ke sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sekali dan membuat semakan aduan yang diterima melalui peti aduan murid dan pelajar, bagi mewujudkan saluran komunikasi berkesan.
“Ibu bapa dan orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihak PDRM melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), serta mengambil tindakan susulan bersama-sama pihak sekolah jika terdapat keperluan,” katanya.
Shamsul Anuar berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan menempatkan polis secara tetap atau separa tetap di sekolah yang berisiko tinggi.
Dalam perkembangan lain Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pelantikan bekas anggota tentera dan polis sebagai warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dilaksanakan secara teliti melalui proses saringan ketat dan latihan khusus.
Rubiah berkata langkah itu sedang dilaksanakan melalui projek rintis di dua lokasi iaitu MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
“Calon dikenal pasti melalui JHEV dan PERHEBAT akan disaring menerusi temu duga dengan mengambil kira rekod disiplin, integriti serta bebas penyalahgunaan dadah atau alkohol,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai mekanisme saringan dan latihan sebelum pelantikan warden.
-Bernama