KUCHING: Sebanyak 1,035 syarikat swasta seluruh Sarawak telah berdaftar sebagai rakan strategik Kenyalang Gold Card (KGC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas setakat ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, vendor-vendor yang berdaftar bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan, malah melibatkan perkhidmatan lain termasuklah barangan keperluan, spa, pusat urut, tempat makan, syarikat kenderaan, hotel dan banyak lagi.
“Di Kuching, kita mempunyai sebanyak 300 rakan strategik dan 1,035 di seluruh Sarawak, yang mana mereka menyediakan diskaun dan rebat antara 5 hingga 20 peratus kepada pemegang KGC yang mendapatkan perkhidmatan di tempat mereka,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jen Lim Convenience Store yang menjadi rakan strategik KGC yang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.
Bagi memaksimumkan manfaat KGC ini, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak telah mengurangkan peruntukan ehsan kematian daripada RM3,000 kepada RM1,800 sebagai usaha memastikan mereka dapat menerima manfaat dari aspek perkhidmatan kesihatan semasa masih hidup.
“Apabila pemegang KGC meninggal dunia, waris berdaftar boleh memohon untuk mendapatkan ehsan kematian sebanyak RM1,800 yang berkuatkuasa bermula 22 Julai tahun ini.
“Sebelum ini, mereka akan mendapat RM3,000 tetapi dikurangkan kerana kita hendak memberikan lebih banyak manfaat kepada pemegang KGC semasa mereka masih hidup.
“Mereka boleh membuat pemeriksaan secara percuma yang mana Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM500 setiap tahun kepada mereka yang berdaftar di bawah inisiatif manfaat warga emas (Senior Citizens Benefits),” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai pemegang KGC di seluruh Sarawak, Dato Sri Fatimah memberitahu setakat ini seramai 357, 867 yang berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar. – UKAS