
SIMANGGANG: Seramai 102 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi Zon Selatan Sarawak telah dianugerahkan pelbagai jenis pingat dan reben perkhidmatan dalam satu majlis penuh adat istiadat yang berlangsung dekat sini, hari ini.
Penganugerahan berprestij itu melibatkan anggota dan pegawai APM yang berkhidmat di bawah pentadbiran Zon Selatan meliputi Daerah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sebuyau dan juga Asajaya.
Antara penghargaan yang disampaikan termasuklah Pingat Setia Pertahanan Awam Kelas 2, Reben Kecemerlangan Aktiviti Sukarelawan, Reben Pencapaian Perkhidmatan 3 serta Reben Perkhidmatan Daerah dan Unit.
Turut diserahkan pada majlis tersebut ialah Reben Perkhidmatan Dekad Platinum, Reben Perkhidmatan Cemerlang 1, Pingat Am Pertahanan Awam, Pingat Perkhidmatan Pertahanan Awam, Reben Pencapaian Perkhidmatan 1 dan Reben Perkhidmatan Negeri.
Kesemua pingat dan reben penghargaan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Pengarah APM Negeri Sarawak, Mohtar Samat dalam Majlis Penyampaian Pingat dan Reben APM Sarawak 2026 yang bertempat di sebuah hotel terkemuka di Bandar Simanggang, hari ini.

Mohtar ketika berucap pada majlis tersebut menyatakan bahawa penganugerahan ini membuktikan para penerima telah berjaya mencapai satu tahap kecemerlangan yang tinggi ke atas anggota APM secara keseluruhannya.
Menurut beliau, pemberian pingat dan reben berkenaan juga merupakan satu tanda penghargaan rasmi daripada pihak jabatan terhadap segala jasa dan bakti yang telah mereka berikan sepanjang tempoh berkhidmat.
Beliau turut menaruh harapan yang tinggi agar penganugerahan ini dapat membakar semangat serta motivasi anggota APM yang lain untuk terus kekal cemerlang dalam tugas masing-masing.
Katanya lagi, suntikan semangat ini amat penting bagi memastikan setiap anggota mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jabatan dan masyarakat sendiri pada masa akan datang.
”Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima. Semoga anugerah dan penerimaan pingat ini terus dijadikan satu batu loncatan untuk kita terus bersemangat memberikan perkhidmatan tanpa mengira bangsa serta agama,” ujar beliau.

Di samping itu, beliau juga berharap agar para penerima hari ini akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan selepas ini.
Jelas Mohtar, kecemerlangan yang ditunjukkan wajar dijadikan sebahagian daripada Indeks Pencapaian Utama (KPI) sebagai tanda penghargaan daripada semua pegawai yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik selama ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang; Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam; Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuching, Leftenan Kolonel Ismail Mahedin.
Oleh Adi Safarman