
Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei
BINTANGOR: Seramai 1,017 murid dari 12 sekolah rendah di daerah ini menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii, berkata perhatian terhadap sektor pendidikan sentiasa menjadi keutamaannya bagi memastikan kesejahteraan murid terus terpelihara, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
“Penyaluran bantuan dilaksanakan secara inklusif supaya tiada sekolah yang tercicir, selaras dengan hasrat memastikan setiap murid memperoleh kemudahan pendidikan yang sewajarnya.
“Saya berharap bantuan yang disalurkan dapat mengurangkan tekanan kewangan keluarga selain menyuntik semangat murid untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
“Pendidikan merupakan elemen penting dalam melahirkan modal insan berkualiti dan menjadi asas kepada pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sesi penyerahan bantuan telah dilaksanakan oleh pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei yang diketuai oleh Wong Soon Mee, bersama Tuai Rumah Kinchu Ajan dan Jacky Sia, baru-baru ini.
Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Amin, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Chung, SK Saint Augustine dan SK Gemuan.
Selain itu, turut menerima bantuan adalah SJKC Ming Lu, SJKC Ming Ching, SJKC Min Daik, SK Nanga Stras, SK Sungai Mador, SK Ulu Binatang, SK Ulu Stras dan SK Bandar Bintangor.
Tiong Sii turut memaklumkan bahawa pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan terus diperkasakan melalui usaha menaik taraf kemudahan fizikal sekolah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Oleh Earl Anek