
SIBU: Seramai 101 pelajar dari 15 sekolah menengah di Sarawak telah mengambil bahagian dalam Kem Kepimpinan Belia (YLC) ke-20 yang berlangsung di Methodist Centennial Park dari 5 hingga 7 September lalu.
Kem tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Toastmasters Bandar Swanitu bertujuan membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar serta memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi pemimpin di sekolah dan komuniti masing-masing.
Bertemakan ‘I Matter’, program itu dirasmikan oleh Kaunselor Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Sean Wong selaku mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.
Presiden Kelab Toastmasters Bandar Swan, Amy Ong, berkata tema tahun ini, ‘I Matter’, bertujuan menggalakkan golongan muda keluar daripada zon selesa mereka.

“Pengalaman anda mungkin menjadi contoh kepada orang lain untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Dr Clement Chen, berkata beliau percaya kepada golongan belia, melihat potensi dan kebolehan mereka sebagai pemimpin masa depan yang mendorong beliau untuk terus menjadikan kem ini sebagai acara tahunan.
“Menganjurkan YLC memang memerlukan banyak tenaga dan masa, namun sepanjang 20 tahun ini saya tetap percaya kepada belia kita dan potensi mereka. Saya berharap kem ini akan menjadi titik perubahan untuk belia kita menjadi lebih baik,” katanya.
Chen turut menzahirkan penghargaan kepada pasukannya dari Kelab Toastmasters Bandar Swan, semua fasilitator serta khususnya isterinya, Kellie Tiong, kerana menyokong beliau sepanjang 20 tahun ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penceramah jemputan, Stephen Fernando dari Semenanjung Malaysia dan Mohd Ariff dari Kuching, atas sokongan berterusan dalam memberi motivasi serta inspirasi kepada para pelajar sepanjang 20 tahun ini.
“Saya juga amat berterima kasih kepada Dato Sri Wong Soon Koh atas sokongan padu beliau terhadap kem ini selama 20 tahun.
“Sumbangan kewangan beliau yang murah hati telah menjadikan kem ini mampu diikuti semua belia di Sibu dan kawasan tengah Sarawak,” katanya penuh semangat.
Antara pengisian sepanjang kem termasuklah ceramah motivasi, permainan pembinaan pasukan, malam bakat, bengkel pengucapan awam serta pertandingan topik spontan.
Oleh Tarani Lanting