

SHAH ALAM: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 atau Sambutan Hari Gawai 2025 yang akan berlangsung pada 28 Jun ini di D’Network@ Setia Eco Park di sini.
Pengerusi penganjur program Michael Oridecth Dures berkata sambutan kebudayaan Sarawak itu antaranya bertujuan memperkenalkan keunikan etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan sebagainya.
Beliau berkata program yang pertama kali diadakan di Semenanjung itu adalah kerjasama antara MOD Solutions Enterprise bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk turut serta dalam sambutan Gawai Kitai Ngiling Bidai yang pertama kali diadakan di Semenanjung ini.
“Marilah bersama-sama kita meraikan kepelbagaian budaya khususnya yang ada di Sarawak, yang menjadi antara tonggak kekuatan negara,” katanya pada sidang media Sambutan Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025 di Setia Alam di sini hari ini.
Michael berkata sambutan Hari Gawai itu juga antara platform untuk memperkenalkan lagi keunikan Sarawak kepada masyarakat tempatan serta pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Beliau berkata program itu adalah antara usaha pihaknya dalam menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang dianjurkan oleh kerajaan Selangor.
“Antara aktiviti menarik yang akan dilaksanakan ialah bengkel kebudayaan serta muzik tradisional Sarawak antaranya sape dan jualan makanan pelbagai etnik yang diterbangkan dari Bumi Kenyalang.
“Jadi, kita jemput dan mengalu-alukan orang ramai untuk turut hadir dan merasai keunikan, keramahan dan hospitaliti orang Sarawak, lantas membawa pulang pengalaman yang berharga,” katanya. — BERNAMA