
MARUDI: Sempena sambutan Ramadan, Syarikat Petronas Marudi dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Marudi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Marudi mengagihkan 1,000 pek bubur kacang secara percuma kepada orang awam.
Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, PPK I Nasir Razali, program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara JBPM dan masyarakat setempat, di samping meningkatkan kesedaran orang awam mengenai langkah pencegahan kebakaran, khususnya menjelang musim perayaan.

Selain pengagihan bubur kacang kepada orang awam, anggota bomba turut berkongsi penerangan ringkas berkaitan keselamatan di rumah, penggunaan peralatan elektrik dengan selamat dan memastikan persekitaran kediaman sentisa selamat sepanjang perayaan.
Bubur kacang tersebut diagihkan di perkarangan Stesen Minyak Petronas Marudi, dan pengagihan dilaksanakan menerusi program bertemakan ‘Seerat Persaudaraan yang Murni.’

Selepas pengagihan selesai, JBPM Marudi turut mengadakan kempen keselamatan kebakaran sempena musim perayaan 2026.
Turut hadir Pengurus Stesyen Minyak Petronas, Lena Tiong, Ketua Polis Daerah (KPD) Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marudi PPK1, Nasir Razali dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah IPD Marudi dan wakil PERKEP Inspektor Conny Siong.
Oleh Jiku Juguong